Sunday, August 15, 2021

BAB 16 - NOVEL PALING BEST PERNAH ANDA BACA - NOVEL TRILOGI MAN REMPIT 2

 BAB 16


Ketika Azman dan kawan-kawannya tiba di situ ambulan telahpun sampai. Gadis itu telah dimasukkan ke dalam ambulan tersebut. Bunyi siren ambulan yang beredar itu mengilai bergema memecah keheningan awal pagi.  Dalam pada itu baju dan seluar Lord berlumuran darah. Wajahnya sedih dan layu.

Lord! Are you okay?” Tanya Shidee.

“Inilah akibat perlumbaan maut begini. Adakalanya mereka yang tak bersalah yang menjadi mangsa.” Dia mengeleng-gelengkan kepalanya seakan menyesal dengan saranannya agar mereka berlumba di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Azman faham. Dia juga begitu. Menyahut cabaran Zafrul dan keluar dari persaraan telah menyebabkan semua ini. Dia juga terharu dengan keadaan ini. Namun demikian dia tak nampak jalan lain untuk menyelamatkan Sara. Keadaan telah menekannya untuk berada di sini. Kalau ada pilihan lain pasti dia tidak akan memilih jalan yang ini. Bisik hatinya perlahan.

Misinya belum selesai selagi Sara belum selamat. Tetapi dia tahu dia mesti mengutamakan perihal gadis yang tak bersalah ini terlebih dahulu.

Mereka akhirnya mengambil keputusan untuk mengikuti ambulan itu ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

XXXXXX

        Sudah semalaman mereka tidak tidur menanti di luar di Unit Rawatan Rapi Hospital Besar itu. Keluarga gadis itu telahpun diberitahu mengenai kemalangan tersebut melalui nombor telefon yang didapati dari handphone dalam tas tangan gadis yang bernama Nur Marissa itu. Gadis yang baru berumur 20 tahun.

        Keluarga gadis itu hadir bersama tangisan. Hanya bapa Marissa yang memakai kopiah dan berbaju melayu putih itu yang kelihatan stabil dan tenang. Mereka semua bersimpati dan menyampaikan ucapan takziah. Hanya Lord dan Azman yang meminta maaf kepada keluarga Marissa atas kejadian yang menimpa gadis itu. Kedua ibubapa Marissa terus masuk ke dalam bilik unit rawatan rapi itu melihat keadaan anak mereka. Adik beradik Marissa pula menunggu di luar.

        Mereka bertanya kepada kawan-kawan Azman mengenai kejadian itu. Bad membantu memberikan penjelasan.

        Disebabkan kerusi tempat duduk yang terhad, mereka yang lain duduk bersimpuh di atas lantai bersandarkan dinding. Ayu dan Alia pula dah lama pulang.

“Terdesak betul Zafrul tu sampai sanggup upah orang nak bunuh kau ye Man. Dulu Farid, ni Zafrul pulak. Semuanya ada kena mengena dengan Sara. Nasib baiklah umur kau panjang.”

“Tak tahulah Eddy. Besar betul dugaan aku ni.”

“Siapalah agaknya yang bawa kereta Intergra tu?”

“Entahlah aku tak nampak muka dia.”

“Aku rasakan kereta tu berhantulah.” Sahut Zainal pula.

“Kenapa pulak?” Tanya Shidee.

“Yelah! Sesiapa je yang bawak kereta tu mesti jadi jahat punya.” Terangnya lagi.

“Aku dengar budak-budak ni cakap kau memang dahsyat. Kalau orang lain dah mati dah kot.” Eddy pula menyampuk.

“Kenapa pulak? Yelah ada budak yang tunggu kat Loke Yew apa. Diorang nampak kau kena langgar nak jatuh tapi kau sempat turun kaki tolak motor tu naik. Tu ha tengok tapak kasut kau tu.” Jelas Eddy sambil jari telunjuknya menunjukkan pada tapak kasut kaki kiri Azman yang terdapat kesan calar yang kasar.

“Hem... Mungkin aku bernasib baik.” Ujar Azman perlahan.

“Kau tak dengar apa-apa pasal Sara?”

“Belum lagi. Aku dah cuba call Zafrul tapi tak pernah dijawabnya.”

Lord pula hanya duduk terjelupuk bersandar di dinding diam melayan perasaannya. Kesan darah kering terdapat pada pada baju dan seluarnya. Azman sayu melihat keadaan kawan baiknya itu namun dia sendiri tak tahu apa yang hendak dikatakan.

Sejurus kemudian kedua ibubapa Sara keluar dari bilik tersebut. Dia menyertai Bad dan dua orang anak lelakinya di situ. Tak lama kemudian dia menuju ke arah Lord.

“Terima kasih membantu anak pakcik tadi.” Kata orangtua itu.

“Sama-sama pakcik.” Jawabnya tertunduk sayu. Matanya berkaca menahan kesedihan.

“Jangan risau. Doktor kata Marissa dalam keadaan stabil sekarang. Darah beku dalam otaknya telah dapat dikeluarkan dan InsyAllah dia akan selamat. Tindakan pantas kamu menyelamatkan nyawanya.”

Lord menggangguk lesu. Lord terasa lega. Dia bersyukur ke hadrat Allah Taala. Barulah kebas dan seram sejuk tubuh badannya dari tadi mula berkurangan. Pun begitu imej Marissa yang mengelepar dilanggar motor Zafrul yang begitu berat masih membelenggu fikirannya.

“Janganlah risau, jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan. Kita boleh merancang tetapi Allah taala yang bakal menentukan segalanya. Semua ini semuanya telah tertulis di Luh Mahfuz.” Jelas bapa Marissa tenang.

“Kitapun singgah di muka bumi ini untuk satu jangkamasa yang singkat dan sebagai insan kematian itu adalah wajib. Tak ada manusia yang akan hidup selama-lamanya. Kalau ajal Marissa sudah termaktub di sini maka saya redha.” Sambungnya lagi.

Mereka yang ada di situ mengangguk-angguk. Kewarakan bapa Marissa begitu jelas dari setiap butir tuturkata yang keluar dari mulutnya itu.

“Dah. Kamu semua baliklah. Pakcik dan makcik kamu amat menghargai pengorbanan kamu semua. Hanya Allah Taala yang dapat membalasnya. Baliklah. Kamu dah penat. Balik.. berehat. Biarlah kami pula menjaganya.” Sarannya dengan nada yang begitu tenang.

Entah kenapa bagai dikuasai sesuatu mereka semua serentak bangkit. Bersalaman dan meminta diri untuk pulang.

Dalam perjalanan ke tempat letak motor, dua orang polis berpakaian uniform memanggil mereka.

“Boleh tanya siapa diantara kamu menyaksikan kemalangan di Hotel Concord malam semalam?” Soal salah seorang daripada anggota itu.

“Saya.” Jawab Lord perlahan.

“Kamu diminta ke balai untuk buat laporan.”

“Hem. Baiklah.”

“Mari...” Mereka semua mengekori Lord bersama kedua-dua anggota polis itu menuju ke balai polis yang letaknya berdekatan dengan Jabatan Kemalangan dan Kecemasan.

Selepas menemani Lord membuat laporan polis di balai kecil yang terletak di Hospital itu mereka mengambil keputusan untuk minum pagi. Mereka minum di Cafeteria yang berdekatan. Pandangan Shidee tersorot kepada muka depan surat khabar Harian Metro yang dibaca oleh seorang pakcik yang duduk tak jauh darinya.

“Weh! Tengok tu. Itu gambar kemalangan semalam!”

“Yelah!” Jawab Zainal. Lantas Shidee bangkit menuju ke kedai runcit berhampiran. Dia membeli akhbar yang sama dan terus sahaja membacanya.

“Khairul! Khairul! Katanya antara dengar dengan tak.”

“Siapa? Khairul? Soal Zainal.”

“Ha’ah! Khairul Anuar yang memandu kereta Honda Intergra Hijau tu.”

“MasyaAllah... Khairul...”

“Innallillah...”

“Biar aku bacakan untuk korang semua.”


Kuala Lumpur. Sebuah kereta Honda Intergra terbabas di lencongan keluar dari Jalan Sungai Besi menuju ke Petaling Jaya berdekatan kem TUDM Sungai Besi awal pagi tadi kerana dipercayai dipandu laju. Dalam kejadian itu, Khairul Anuar Mohamad Tahir yang berumur 25 tahun didapati rentung kerana tersepit di dalam kereta yang remuk teruk itu. Kereta itu terbakar sebaik melanggar penghadang jalan di situ.

Orang ramai yang cuba menyelamatkan mangsa tidak sempat berbuat demikian kerana api marak dengan begitu cepat sekali. Mangsa yang masih bujang itu berasal dari Bandar Sri Damansara...


Shidee membacakan keseluruhan kisah Khairul Anuar yang dipaparkan di akhbar tersebut.

“Aku rasa dia tak puas hati kita belasah dia hari tulah Lord.”

“Mungkin jugak.”

“Tapi aku rasa ada dalang di sebalik semua ni. Aku rasa dia dibayar lumayan untuk hapuskan kau Man. Dia jadi informer Zafrul, lepas tu dia bawak kereta Intergra Hijau Farid. Takkan kau tak boleh nak fikir. Aku syak Tan Sri Samad ayah Farid ada kena mengena dengan semua ini.”

“Kekadang duit punya pasal boleh buat manusia kelabu mata bro’.” Ujar Lord perlahan. Kesan darah pada baju dan seluarnya yang telah kering itu kelihatan merah kehitaman dan ia mengeluarkan bau yang agak hanyir namun langsung tidak dipedulikan kawan-kawannya.

“Apapun kita tak boleh buat tuduhan tanpa bukti bro’. Mungkin semua ini satu kebetulan je kot.” Azman tidak mahu mereka membuat sebarang spekulasi mengenainya. Ini kerana baginya telah ramai yang tak berdosa menjadi mangsa dalam pertikaian ini. Kemalangan yang membabitkan Marissa dan Khairul Anuar sudah cukup memilukan hatinya.

BERSAMBUNG...

Berikut adalah blog-blog dan link manfaat FY yang lain;

Untuk mendapatkan input pelaburan saham layari -

Novel paling best pernah anda baca Trilogi Man Rempit 1 secara percuma layari -

Novel paling best pernah anda baca Trilogi Man Rempit 2 secara percuma layari - 

Kisah anak Pak Gad bernama FY layari -

Ingin dapatkan pengisian motivasi bersama FY? Layari -

Ingin baiki diri ke arah Minda Akhirat? Layari -

Ikuti FY di Youtube 

Ikuti FY di Facebook




No comments:

Post a Comment

BAB 1 - NOVEL PALING BEST PERNAH ANDA BACA - NOVEL TRILOGI MAN REMPIT 2

BAB 1 Satu ketika dahulu sorotan kisah percintaan luar biasa seorang Mat Rempit bernama Manjoe dengan Sara Yasmin mendapat liputan yang melu...